Connect with us

Semasa

Antara Anak Tun M, Anak Najib Dan Anak Rakyat Marhaen. Siapa Paling Terkesan?

Published

on

Sejak beberapa hari ini kita disajikan dengan tulisan, artikel dan aksi berbalas komen antara dua orang bapa yang pernah menjadi Perdana Menteri kita iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Segalanya bermula apabila Dr Mahathir mengulangi kritikan ke atas kes anak Najib, Riza Aziz berkait dengan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam penerbitan filem Wolf of Wall Street.

Sebagai tindak balas, Najib bukan sahaja memberi jawapan balas tetapi turut mendedahkan satu demi satu kontrak yang diperoleh anak-anak Dr Mahathir sewaktu Tun menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir mengkritik penyelesaian kes Riza Aziz dan menyifatkannya sebagai “mencuri AS$248 juta daripada wang 1MDB dan anda pulangkan kembali hanya AS$107.3 juta dan anda menyimpan baki AS$140 juta untuk dinikmati… Faktanya ialah anda telah mencuri daripada 1MDB sebanyak AS$248 juta dan keseluruhan nilainya mestilah dikembalikan.”

Untuk rekod, sebelum itu Riza Aziz didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLATFAA) yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman maksimum 15 tahun penjara.

Respon balas Najib

Najib membalas dengan beberapa pendedahan. Pertama ialah berkenaan Mirzan Mahathir yang membangunkan Konsortium Perkapalan pada tahun 1990-an yang kemudiannya diselamatkan (bail-out) oleh Petronas melalui MISC sewaktu krisis ekonomi pada tahun 1998.

Menurut Najib, pada tahun 1996, Mirzan juga membeli Diperdana Corp daripada adik lelaki Vincent Tan iaitu Danny Tan – hanya dua tahun selepas Danny membeli syarikat tersebut.

Seterusnya, Najib mempersoalkan transaksi pada tahun 1997 apabila seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir iaitu Mokhzani yang menjadi pemegang saham terbesar kumpulan Hospital Pantai selepas membelinya daripada Kumpulan Berjaya yang dikawal Vincent Tan.

Susulan daripada pembelian tersebut, Najib menyatakan bahawa konsesi FOMEMA dan juga kontrak bekalan hospital kerajaan telah dianugerahkan kepada kumpulan tersebut ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Pendedahan berikut Najib adalah berkenaan Kumpulan Kencana yang ditubuhkan oleh Mokhzani hanya setahun sebelum ia dianugerahkan lesen fabrication utama daripada Petronas pada tahun 2002.

Mahathir vs Najib memang sengit. Rakyat bagaimana?

Pertembungan antara kedua-dua orang bapa itu ternyata cukup sengit.

Namun hakikatnya, rakyat marhaen masih perlu untuk kembali ke dunia realiti: dari segi material, anak-anak Dr Mahathir dan anak-anak Najib kedua-duanya boleh dijangka tidak terlalu terkesan dengan pandemik COVlD-19.

Tidak kiralah bapa siapa yang akan memenangi perdebatan terbuka ini, tidak seperti mana anak-anak rakyat biasa khususnya mereka yang hilang pekerjaan.

Maka adalah lebih elok kiranya ahli politik kita saling bekerjasama untuk menangani isu anak-anak rakyat yang terkesan ini, seperti mana mereka bersungguh-sungguh mempertahankan anak masing-masing.

Selamat Hari Bapa.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

Sinar

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.