Connect with us

Semasa

Dr Mahathir Berpesan Supaya ‘Tepuk Dada, Pilih Selera’ – ADUN Kuah

Published

on

Terkini, selepas kira-kira sejam bertemu Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah Mohd Firdaus Ahmad menjelaskan menerima pelbagai pandangan dan nasihat daripada pertemuan itu.

Bagaimanapun katanya, paling ditekankan oleh bekas perdana menteri itu adalah supaya beliau meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

” Pertemuan saya dengan Tun berlangsung selama sejam, dan apa yang penting beliau sampaikan amanat supaya berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

‘Tepuk dada, pilih selera’

Ditanya mengenai pandangan Dr Mahathir berkenaan keputusan sama ada beliau akan menyokong PN Kedah, Mohd Firdaus berkata, Dr Mahathir berpesan supaya ‘tepuk dada, pilih selera’.

Sekali gus, Mohd Firdaus memberi gambaran beliau akan meneruskan sokongan kepada PN dan kekal bersama Bersatu.

” Tun juga pesan supaya berjuang untuk parti, dan bukan untuk diri sendiri.

” Insya-Allah pesan Tun berjuang untuk parti akan saya pegang, dan saya pilih parti. Sesiapa pun yang memimpin tetap parti yang sama,” katanya ketika ditanya sama ada akan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong PN atau tidak.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Mohd Firdaus ‘mengadap’ Dr Mahathir petang tadi, dua hari selepas mengaku menyokong Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan baru.

Beliau juga berkata belum menandatangani sebarang akuan bersumpah, walaupun PAS semalam mendakwa 23 SD sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

PAS Kedah mendakwa mempunyai sokongan 23 Adun, termasuk dua Adun PKR yang keluar parti dan empat Adun Bersatu yang mendukung kepimpinan Presiden parti Muhyiddin Yassin.

Firdaus pada Selasa memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan tiga lagi Adun Bersatu menyokong pembentukan kerajaan baru selepas PH dikatakan hilang majoriti kerana “mengikut arus dan arahan daripada parti”.

Sebelum ini, dua lagi Adun Bersatu – Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan, Juhari Bulat (Ayer Hangat) mengaku menyokong PN.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat terletak dalam kerusi parlimen Langkawi yang dimenangi Mahathir.

Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak) turut dikaitkan dengan peralihan sokongan itu tetapi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkannya.

Sekiranya mendapat sokongan penuh keempat-empat Adun Bersatu itu, PN Kedah mempunyai kekuatan dengan 23 kerusi berbanding PH hanya mempunyai 13 kerusi.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata beliau bersama Adun lain akan mengadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, di Alor Setar pagi esok.

Difahamkan, wakil rakyat daripada PN akan mengadap baginda pada sebelah pagi, manakala Adun PH pula akan berbuat demikian pada sebelah petang.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.