Connect with us

Semasa

Nama Kena ‘Petik’ Berhubung Kes Anak Tiri Najib, Tommy Thomas Mula Buka Mulut

Published

on

Bekas peguam negara, Tommy Thomas, dilapor mempertikaikan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaitkan beliau dengan persetujuan untuk melepas tanpa membebaskan anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Aziz, daripada tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut laporan portal The Malaysian Insight, Thomas berkata, beliau memang tahu peguam bela penerbit filem itu membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan ke atas Riza.

Kata Thomas, hal itu dimaklumkan pegawai khasnya, Rahayu Mamuzaini, dan selepas menelitinya dokumen berkenaan diserahkan kepada peguam Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes berkenaan.

Sri Ram dilaporkan diberitahu agar menyemak representasi dibuat peguam Riza, dan setakat pengetahuan pihak pendakwaan tiada apa-apa berlaku selepas itu.

” Saya bersara dua setengah bulan lalu dan setakat itu, tiada sebarang perjanjian untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Riza.

” Justeru, ia tidak benar sama sekali dan merupakan suatu pemalsuan untuk mengatakan saya bersetuju dengan keputusan itu.

” Saya amat kecewa apabila SPRM terpaksa membuat kenyataan palsu ini,” katanya dipetik portal berkenaan.

Petang tadi SPRM mendakwa kerajaan dijangka menerima semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) hasil persetujuan dicapai di antara pihak pendakwaan dan Riza.

Dalam kenyataan dikeluarkan agensi antirasuah itu permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Riza itu dibuat pada 5 Julai 2019.

Kata SPRM ia merupakan pelepasan bersyarat, iaitu pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

” Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas,” kata SPRM.

Untuk rekod Thomas meletakkan jawatannya pada 28 Feb selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton yang dibuat Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, serta Azmin Ali yang menjadi timbalan presiden PKR ketika itu.

Mengikut kotrak lantikan, Thomas sepatutnya berkhidmat sebagai peguam negara sehingga Jun tahun ini.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.