Connect with us

Semasa

Shahrol Ceritakan Hubungan Jho Low Dengan Najib Dan Jelaskan Kenapa Dia Percaya Mereka Sangat Rapat

Published

on

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menaruh keyakinan penuh kepada Low Taek Jho atau Jho Low kerana ahli perniagaan dalam buruan itu mempunyai akses peribadi kepada Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, berkata ia juga berdasarkan kepada tingkah laku dan tindakan serta perangai kedua-dua individu itu apabila bersama.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, pernah pada satu ketika beliau memasak nasi goreng untuk Jho Low dan ahli perniagaan itu meminta beliau menyediakan hidangan sama untuk Najib.

Shahrol Azral yang menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, berkata Jho Low memberitahunya, Najib menyukai nasi goreng itu.

Jho low ada akses rumah Najib

” Jho Low juga ada akses kepada rumah Najib di Taman Duta pada bila-bila masa dan beri nombor pembantu rumah kepada saya.

” Semua perkara dan kejadian ini menjadikan saya percaya bahawa Najib dan Jho Low adalah sangat rapat,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrol Azral berkata Najib tidak pernah memberitahunya secara peribadi bahawa nasi goreng itu amat sedap.

Pada ketika itu, pembantu kepada Muhammad Shafee dilihat menyerahkan nota kepada Muhammad Shafee.

Peguam itu berkata; “Pembantu saya baru menyerahkan nota yang menyatakan, dilihat kepada logik akal, mungkin Jho Low menghabiskan semua nasi goreng itu.”

Shahrol Azral menjawab; “Mungkin juga, lain kali saya sediakan untuk anda (Muhammad Shafee) pula,”.

Projek jadi bahan lawak

Sementara itu, Shahrol Azral memberitahu mahkamah, pihak pengurusan 1MDB menganggap Petro Saudi International (PSI) yang menjalinkan usaha sama dengan syarikat pelaburan strategik negara itu sebagai menyakitkan hati dan menyusahkan.

Malah menurut saksi, projek PITA yang dijalankan oleh 1MDB bagi memperoleh semula dana daripada PSI, menjadi bahan lawak dalam kalangan pihak pengurusan syarikat.

Katanya, pengurusan 1MDB menamakan projek itu sebagai PITA kerana P dirujuk sebagai PSI manakala ITA (dalam bahasa Inggeris) bermaksud menyakitkan hati.

” Kami memanggilnya begitu kerana projek ini perlu ditangani dengan teliti kerana sensitiviti… kita tidak boleh teruskan hanya dengan berdasarkan kepada asas komersial.

” Dana ini adalah sensitif dan kami perlu uruskan dengan berhati-hati dengan merujuk kepada Najib,” katanya.

Shahrol Azral berkata, Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan PITA.

Muhammad Shafee berkata, adalah mengejutkan kerana Lembaga Pengarah mungkin akan tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan itu adalah roti, bagaimanapun saksi berkata perkara itu tidak pernah timbul.

Shahrol Azral sementara itu bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa tiada sebarang kertas kerja atau pembentangan mengenai Projek PITA kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Pada satu soalan lain, saksi bersetuju dengan peguam bahawa terdapat satu lagi projek dinamakan Magnolia, bagaimanapun tidak diketahui maksudnya kerana ia diberikan dan digunakan oleh Goldman Sachs.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.