Connect with us

Semasa

Tun M Kritik Keputusan Lepas Tanpa Bebaskan Riza. Sekali Najib Balas Balik, ‘Petik’ Pasal Anak Tun M Pula

Published

on

Najib Razak hari ini membalas kritikan Dr Mahathir Mohamad yang “khuatir dan tertanya-tanya” dengan keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tirinya, Riza Aziz dalam kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Dalam satu kenyataan sinis di Facebook, Najib mempertahankan Riza dan membangkitkan beberapa urus niaga melibatkan anak Mahathir.

” Oleh kerana dia keliru, saya taip perlahan-perlahan dengan cara paling ringkas supaya dia faham.

” Riza ada projek filem. Keluarga kerabat Abu Dhabi berminat dan janji kepada Riza untuk labur projek filem dia.

” (Pihak) yang berjanji masa itu termasuk putera mahkota Abu Dhabi (Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan) serta timbalan perdana menteri UAE yang juga merupakan adik kepada presiden UAE yang juga pemilik kelab Manchester City,” kata Najib yang jelas merujuk Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan.

” Mereka pun arahkan CEO syarikat Aabar untuk melabur dalam projek filem Riza. Ada perjanjian pelaburan dan sebagainya,” katanya lagi.

Menurut Najib, filem-filem yang diterbitkan Riza “agak berjaya”.

” Filem pertama Wolf of Wall Street (2013) jana penjualan tiket AS$392 juta (RM1.7 bilion) berbanding kos AS$100 juta (RM430 juta). Filem Dumb and Dumber To (2014) jana penjualan tiket AS$169.8 juta (RM730 juta) dengan kos pengeluaran AS$50 juta (RM215 juta). Filem Daddy’s Home (2015) jana penjualan tiket AS$242.8 juta (RM1.04 bilion) dengan kos AS$69 juta (RM297 juta),” menurutnya.

Dalam persetujuan yang dicapai antara pihak Riza dan pendakwaan, beliau dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta)

Semalam, Mahathir antara lain menyuarakan kekhuatirannya berkenaan persetujuan itu dan mempersoalkan jika pihak yang didakwa atas tuduhan mencuri boleh terlepas daripada tindakan jika memulangkan semula apa yang dicurinya.

” Dia curi berbillion-billion…Dia bagi balik kepada kerajaan. Dia kata kepada kerajaan, ‘Nah, duit yang aku curi. Sekarang ini, jangan ambil tindakan terhadap aku.’ Kita pun kata, ‘Sudah bagi balik duit okey lah’,” katanya.

Menjelaskan bahawa beliau tidak mempersoalkan keputusan mahkamah, Mahathir pada masa sama berkata ia menunjukkan undang-undang mungkin perlu dipinda.

Najib menegaskan bahawa ianya bukan bail-out Petronas untuk “syarikat milik anak sulung pihak tertentu ataupun Vincent Tan yang menjual kumpulan hospital Pantai kepada anak kedua tertentu yang berumur 35 tahun masa itu.”

” Ini juga bukan konsesi-konsesi Fomema atau kontrak membekal semua hospital kerajaan yang diberi kepada kumpulan Pantai selepas anak tertentu membelinya.

” Ini juga bukan melantik syarikat Petron sebagai syarikat rasmi untuk membekal minyak kepada kerajaan sebaik sahaja PH menang PRU14.”

Najib juga membangkitkan projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion melibatkan Opcom Bhd yang didakwanya “diwujudkan, diluluskan dan dilaksanakan” oleh kerajaan PH kurang setahun yang menyebabkan harga saham syarikat itu melonjak 50 peratus.

” Ketiga-tiga anak pun ada,” katanya yang jelas merujuk tiga anak Mahathir, iaitu Mokhzani, Mirzan dan Mukhriz.

Gambar: Mokhzani, Mirzan dan Mukhriz

Mengulas lanjut, Najib berkata selepas filem terbitan Riza berjaya, beliau telah mula membayar balik keuntungan dan pelaburan asal kepada pihak Abu Dhabi.

” Perkara ini juga terdedah dalam rakaman audio perbualan telefon saya dengan putera mahkota Abu Dhabi yang didedahkan oleh Latheefa Koya pada masa PH,” katanya, sambil secara sinis mengucapkan terima kasih kepada bekas pesuruhjaya SPRM itu kerana mendedahkan rakaman tersebut.

” Kesemua transaksi, akaun bank, penggunaan dana, keuntungan yang dijana dari dana, perjanjian dan saksi-saksi adalah di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat. Nak bicara di Malaysia pun susah.

” Pun begitu, DOJ Amerika Syarikat juga tak pernah mendakwa Riza atas kes jenayah. Cuma saman sivil yang sudahpun diselesaikan di sana tahun lepas…Tetapi yang pelik walaupun transaksi Riza tak berlaku di Malaysia, (dia) didakwa dengan kes jenayah di sini,” katanya lagi.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.